IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat menafikan dakwaan seramai 300 ahlinya akan keluar parti dan menyertai Gerakan.
Setiausahanya, Ramesh Roy berkata, dakwaan itu dibuat tanpa bukti kukuh dan pihaknya bimbang berlaku penipuan serta salah guna data peribadi anggota parti tanpa pengetahuan parti.
Menurutnya, berdasarkan semakan, tiada sebarang surat diterima oleh cabang tersebut berkaitan peletakan jawatan mahupun surat pelucutan keanggotaan dari parti.
“Kami menafikan dakwaan ini dan memandang serius perkara ini kerana tiada sebarang bukti dikemukakan oleh mereka yang keluar itu merupakan ahli PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya menganggap kenyataan media yang dikeluarkan semalam mengenai dakwaan itu merupakan satu penipuan dan penyalahgunaan media, data peribadi anggota parti yang disalah guna tanpa pengetahuan.
“Laporan polis yang kami buat hari ini bertujuan untuk membuat penafian serta mempertahankan maklumat peribadi anggota parti kami agar tidak disalah guna,” katanya.
Ramesh juga mengesahkan individu yang mewakili bekas ahli PKR Cabang Ipoh Barat yang menyerahkan borang keahlian Gerakan dalam sidang akhbar di sini semalam iaitu Alfaizal Shahul Hamid merupakan bekas anggota parti.
“Keahliannya sudah dilucutkan pada 3 Jun lalu bersama tiga lagi ahli PKR Cabang Ipoh Barat,” katanya.
Semalam, Alfaizal, 44, yang mewakili kumpulan bekas ahli PKR itu menyerahkan kira-kira 50 borang keahlian menyertai Gerakan kepada Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng ketika sidang akhbar di Pejabat Gerakan Perak.
Ketika sidang akhbar itu, Alfaizal turut mengumumkan seramai 300 lagi bekas ahli PKR Cabang Ipoh Barat akan menyertai Gerakan secara berperingkat. – UTUSAN ONLINE