PKPD di Kampung Tringgus berakhir esok - Utusan Malaysia

PKPD di Kampung Tringgus berakhir esok

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tringgus Daerah Bau, Bahagian Kuching, Sarawak ditamatkan esok seperti yang telah dijadualkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat penurunan kes Covid-19 dan kluster juga adalah terkawal.

“Sehingga kini, 55 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah tersebut, secara kumulatif hanya sebanyak empat kes positif direkodkan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kementerian berkenaan ujar beliau, turut memaklumkan bahawa tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dari makmal di perkampungan majoriti suku Bidayuh itu.

Justeru, setelah dibuat penilaian risiko dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti tersebut mengikut jadual pada 21 Mac.

PKPD di kampung dihuni lebih 1,000 orang penduduk berkenaan mula dilaksanakan pada 8 Mac lalu selama dua minggu ekoran berlaku peningkatan hingga cecah 37 kes sebelum itu.

Kadar kebolehjangkitan wabak dalam komuniti pada masa tersebut adalah tinggi dan PKPD diwartakan bagi mengawal pergerakan selain memantau penularan kes dalam komuniti.

Lokaliti ini terkenal dengan keindahan Air Terjun Bubot yang tidak jauh dari sempadan Wilayah Kalimantan Barat, Indonesia dan terletak 55 kilometer dari pusat bandar raya Kuching. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN