PKPD di Kampung Lingkudau, Sabah pula - Utusan Malaysia

PKPD di Kampung Lingkudau, Sabah pula

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dilaksanakan di Kampung Lingkudau, di Daerah Keningau, Bahagian Pedalaman Atas, Sabah bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 12 Mac lalu, 102 ujian saringan sudah dilaksanakan dan daripada jumlah itu, 19 kes positif direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya melalui kenyataan.

Justeru ujar beliau, setelah dibuat penilaian risiko oleh pelbagai agensi, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD selama 14 hari yang akan bermula 15 Mac sehingga 28 Mac depan.

Ia katanya, bagi memudahkan kementerian tersebut melakukan saringan secara bersasar dan mengawal pergerakan penduduk serta penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti.

Perkampungan berkenaan terletak di Jalan Pegalan, hanya jarak kira-kira tiga kilometer dari bandar Keningau serta majoriti penduduknya ialah etnik Kadazan-Dusun dan Melayu Brunei.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa PKPD di kuarters pekerja Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang ditamatkan lebih awal pada hari ini berbanding sepatutnya 19 Mac depan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan semua keputusan sampel kedua untuk kontak rapat seramai 76 orang adalah negatif dan tiada lagi sampel yang menunggu keputusan,” katanya.

Sehingga kini jelas beliau, sebanyak 89 ujian saringan telah dilakukan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif cuma empat kes positif pandemik berkenaan yang direkodkan kementerian.

Sehubungan itu katanya lagi, Jawatankuasa Teknikal setelah membuat penilaian risiko dengan pelbagai agensi memutuskan PKPD di lokaliti tersebut ditamatkan lima hari lebih awal.

Kuarters Sri Jelutung Palm Oil Mill Sdn. Bhd. itu dimiliki syarikat iKHASAS Group yang diperbadankan pada 2011 lalu dan memiliki ladang kelapa sawit seluas 156 hektar berdekatan situ.

Wabak Covid-19 di lokaliti itu telah mencetuskan Kluster Sri Jelutung pada 3 Mac lepas yang menyebabkan PKPD selama dua minggu diwartakan oleh pihak kerajaan pada 6 Mac lalu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya