PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu, Sarawak dilanjutkan lagi selama seminggu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan mengesahkan masih berlaku penularan kes Covid-19 di lokaliti tersebut.
“Sehingga kini, kementerian itu telah melaksanakan 1,407 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, 85 kes positif sudah pun direkodkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Jelas beliau, setelah dibuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju menyambung tempoh PKPD sehingga 25 Mac ini.
Dua rumah sewa berkenaan mula dikenakan PKPD selama dua minggu sejak 5 Mac lalu dan sepatutnya akan berakhir esok mengikut jadual masa yang sudah ditetapkan kerajaan.
Rumah Sewa Anong terletak di Batu 5 manakala Rumah Sewa Beverly Hills di Taman Beverly Hills dengan jarak antara dua lokasi ini 50 kilometer dan mengambil masa sejam berkereta.