PKPD di 2 lokap tahanan PATI - Utusan Malaysia

PKPD di 2 lokap tahanan PATI

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua lokap tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula esok.

Ia meliputi lokap di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Taman Setia Tropika dan Jabatan Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar; yang kedua-duanya terletak di Daerah Johor Bahru.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini pihak Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan ke atas 82 PATI di Taman Setia Tropika.

“Daripada jumlah itu, 39 individu didapati positif Covid-19 manakala 51 kes lagi dilaporkan di lokap imigresen terhadap tahanan bergejala,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Setelah dibuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi, kerajaan ujar beliau, bersetuju melaksanakan PKPD secara serentak di dua lokaliti itu mulai 28 Mac hingga 10 April depan.

Pelaksanaan itu katanya, bagi memudahkan pihak kementerian melakukan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, staf dan kontak rapat agar tiada jangkitan dalam komuniti.

Prosedur operasi standard di dua pusat tahanan PATI itu sama seperti di lokaliti lain sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga juga tidak dibenarkan.

Jarak antara kedua-dua lokap berkenaan ialah sekitar 15 kilometer dengan perjalanan hanya ambil masa 20 minit pemanduan dengan kereta menerusi laluan negeri J3 dan persekutuan 1.

Dalam pada itu, PKPD di Kampung Lingkudau, Daerah Keningau, Bahagian Pedalaman Atas, Sabah, yang bermula sejak 15 Mac lalu akan ditamatkan seperti yang dijadualkan pada esok.

Ismail Sabri memaklumkan bahawa, sehingga kini sebanyak 1,396 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif hanya 91 kes positif Covid-19 yang telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan baki kes positif juga menunjukkan trend penurunan dengan kluster adalah terkawal dan kes terakhir pula dilaporkan pada 23 Mac lalu,” kata beliau.

Perkampungan berkenaan terletak di Jalan Pegalan, dengan hanya jarak kira-kira tiga kilometer dari bandar Keningau serta majoriti penduduknya ialah etnik Kadazan-Dusun dan Melayu Brunei.

Bagaimanapun, penduduk di kampung tersebut masih lagi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan seluruh Daerah Keningau sejak 22 Mac lalu hingga 4 April depan.

Daerah itu terletak di Bahagian Pedalaman Atas yang bersempadan lembah Banjaran Crocker dengan keluasan 3,533 kilometer persegi dan penduduk dianggarkan berjumlah lebih 180,000. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN