PKPD di 2 kampung di Nabawan dilanjutkan - Utusan Malaysia

PKPD di 2 kampung di Nabawan dilanjutkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong di Daerah Nabawan, Sabah terus dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan pihak Kementerian Kesihatan masih lagi sedang menunggu keputusan baki 322 sampel saringan.

“Malahan terdapat kes positif baharu pula dilaporkan dalam kalangan penduduk di lokaliti ini sejak PKPD dilaksanakan pada 27 Februari lalu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Sehingga kini ujar beliau, kementerian tersebut telah pun melakukan sejumlah 674 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes positif wabak Covid-19 sudah direkodkan.

Justeru katanya, setelah dibuat penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD mulai 13 Mac ini sehingga 26 Mac depan.

Dua perkampungan tradisi didiami majoriti etnik Murut dan bersempadan dengan Wilayah Kalimantan Utara, Indonesia itu pernah mencetuskan Kluster Sinsingon pada 24 Februari lalu.

Ia melibatkan sejumlah besar peserta dalam satu upacara pengebumian penduduk yang sekali gus mengakibatkan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi dan naik secara mendadak.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Bahagian Sibu, Sarawak yang dijadualkan akan berakhir pada 12 Mac ini.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat penurunan kes selain kluster adalah terkawal dengan kesemua kes positif serta kontak rapat juga telah pun segera diasingkan,” jelas beliau.

Setakat hari ini ujarnya, sebanyak 1,311 ujian saringan telah pun dilaksanakan oleh kementerian tersebut dan daripada jumlah itu, secara kumulatif hanya 13 kes sahaja sudah dilaporkan.

Lokaliti berkenaan mengandungi seramai 2,500 orang penduduk yang membabitkan kawasan kediaman dalam sempadan Jalan Sentosa, Jalan Sentosa Timur dan Lorong Sentosa Utara 7.

PKPD di sini sejak 27 Februari lalu diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan dipersetujui pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal peringkat kerajaan pusat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya