PKPD di 2 kampung di Kota Belud, Sabah - Utusan Malaysia

PKPD di 2 kampung di Kota Belud, Sabah

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua perkampungan di Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti berkenaan ialah Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu tidak jauh dari bandar Kota Belud.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehingga kini, ujar beliau, sebanyak 89 ujian saringan dilakukan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu, sembilan kes positif Covid-19 telah direkodkan pihak kementerian itu.

Manakala sebanyak 77 ujian saringan, jelas beliau, sudah dilaksanakan terhadap penduduk Kampung Siasai Tamu dengan tujuh kes positif pandemik itu dilaporkan di lokaliti berkenaan.

Justeru katanya, setelah dibuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal, kerajaan bersetuju diwartakan PKPD yang akan bermula esok hingga 8 April depan.

Pelaksanaan ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar serta mengawal pergerakan dan penularan dalam komuniti dua kampung tersebut.

Jarak kedua-dua lokaliti itu terletak hanya sejauh lima kilometer mengambil masa 10 minit perjalanan dengan pemanduan kereta secara sederhana menerusi Jalan Tuaran-Kota Belud.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, penamatan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong di Daerah Nabawan, Sabah akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku trend penurunan kes baharu wabak Covid-19 dengan kluster adalah terkawal serta semua kes juga telah menerima rawatan,” jelas beliau.

Setakat hari ini ujarnya, pihak kementerian itu berjaya melaksanakan 821 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 140 kes positif pandemik berkenaan sudah direkodkan.

Oleh itu kata beliau, atas nasihat kementerian berkenaan, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD yang berlangsung selama empat minggu di dua perkampungan etnik Murut tersebut.

PKPD di lokaliti terletak di Bahagian Pedalaman berkenaan mula dikenakan ke atas penduduknya sejak 27 Februari lepas sebelum disambung lagi selama 14 hari bermula 13 Mac lalu.

Kawasan yang bersempadan Wilayah Kalimantan Utara, Indonesia itu mencetuskan Kluster Sinsingon pada 24 Februari lalu dengan membabitkan peserta satu upacara pengebumian.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN