PKNS janji selesai isu CF dan geran Pangsapuri Seri Perantau - Utusan Malaysia

PKNS janji selesai isu CF dan geran Pangsapuri Seri Perantau

FAIZAL (tengah) dan Mohamad (dua kanan) mengatakan sesuatu selepas pertemuan diadakan berhubung isu hakmilik strata dan CF Pangsapuri Seri Perantau di pejabat PKNS, Shah Alam, Selangor hari ini. -UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isu berhubung Sijil Layak Menduduki (CF)  dan hak milik strata membabitkan 1,656 pemilik Pangsapuri Seri Perantau bakal menemui jalan penyelesaian apabila pemajunya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjanji akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.

Pengurus Komunikasi Korporatnya, Faizal Dollah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan penduduk untuk memastikan perkara tersebut menemui jalan penyelesaian.

“PKNS sebagai pemaju bertanggungjawab memastikan projek perumahan memiliki CF dan ini, kami akan selesaikannya dengan kadar segera.

“Berhubung hak milik strata, perkara tersebut dalam proses untuk disiapkan, namun, kita memerlukan masa dan penyelesaian beberapa perkara,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di pejabat PKNS di sini hari ini.

Terdahulu, PKNS mengadakan pertemuan hampir tiga jam bersama wakil penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan seramai 1,656 pemilik rumah pangsapuri itu kesal dengan tindakan berdiam kerajaan negeri berhubung permohonan isu penyelesaian hak milik strata dan CF sejak tahun lalu.

Menurut pemilik rumah pangsapuri itu, mereka telah menghantar surat permohonan penyelesaian tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, PKNS yang memajukan projek perumahan tersebut tampil menafikan dakwaan penduduk dan menjelaskan CF telah diperoleh pada tahun 2006 dan hak milik strata sedang diproses.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Seri Perantau (JBPSP), Mohamad Mat Zain berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan hasil pertemuan bersama PKNS yang merupakan pemaju projek tersebut.

“Saya difahamkan hak milik strata tersebut akan diperoleh pada tahun hadapan berbanding dikatakan pada 2023 jika tiada aral melintang.

“Buat masa ini, terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan yang melibatkan pihak berkuasa lain sebelum proses mendapat geran dan CF,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN