Pindah lokasi pembalakan di Hutan Simpan Jerantut Tambahan - Utusan Malaysia

Pindah lokasi pembalakan di Hutan Simpan Jerantut Tambahan

MOHD Rosmani Md. Sharif menunjukkan lokasi aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan dekat Jerantut yang membimbangkan penduduk kerana hampir dengan kawasan penempatan dan punca air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri diminta memindahkan semua aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Jerantut Tambahan, dekat Jerantut di sini kerana lokasi itu terlalu hampir dengan penempatan dan punca air penduduk. 

Walaupun kerja pembalakan di Kompartmen 1, hutan simpan berkenaan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri sejak dua tahun lalu, namun, terdapat lima kawasan perkampungan berhampiran lokasi itu berdepan ancaman pencemaran sumber air.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Balak, Mejar (B) Mohd. Rosmani Md. Sharif berkata, lima kampung berkenaan ialah Kampung Baharu, Kampung Sungai Badak, Kampung Lata Kasah, Kampung Binjai dan Kampung Sungai Par. 

“Aktiviti pembalakan ini memang memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk setempat, terutamanya ancaman terhadap punca air yang digunakan penduduk. 

“Kita bimbang jika kerja penebangan balak diteruskan tanpa kawalan, kesan yang kini mula dialami Sungai Teh akan menyusahkan penduduk, terutamanya yang tinggal di Kampung Sungai Badak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Menteri Besar Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Mohd. Rosmani berkata, memorandum itu bertujuan meminta kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil perhatian dan tindakan segera, sebelum berlaku insiden tidak diingini di kawasan berkenaan. 

“Kawasan ini sangat sensitif dan senang berlaku banjir. Kita bimbang kejadian banjir teruk awal Januari lalu di Kampung Sungai Badak boleh berulang pada masa akan datang. 

“Mereka (pekerja syarikat pembalakan) sudah menyambung semula kerja pembalakan pada 22 Januari lalu dan jarak antara lokasi aktiviti pembalakan itu dengan Sungai Teh dan Kampung Sungai Badak adalah antara 500 hingga 1,000 meter sahaja,” katanya. 

Beliau turut mendakwa sudah menghantar lapan surat bantahan kepada Wan Rosdy serta Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Hizamri Mohd. Yasin, sejak kerja pembalakan dimulakan di kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan itu, namun jawapan diberikan mengecewakan dan tidak meyakinkan. 

“Kita bukannya berniat untuk menghalang kerajaan negeri meluluskan projek pembalakan, tapi berbincanglah dulu dengan penduduk setempat dan kalau tidak bersesuaian, pilihlah lokasi yang lebih sesuai dan jauh dari penempatan penduduk serta punca air,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN