Pindah ketum ke bot nelayan Thailand - Utusan Malaysia

Pindah ketum ke bot nelayan Thailand

MARITIM Malaysia berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 200 kilogram daun ketum bernilai RM36,000 ke Thailand di pesisir pantai Kuala Perlis, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Bawa daun ketum menggunakan bot gentian dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak) ke perairan sempadan Malaysia-Thailand sebelum dipindah muatan terlarang tersebut ke dalam bot-bot nelayan Thailand, dikesan menjadi modus operandi sindiket penyeludupan daun ketum.

Malah, aktiviti penyeludupan daun ketum itu dilihat terus aktif meskipun telah banyak tangkapan dan rampasan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Penyeludup terbabit seolah-olah tidak serik bagi mengambil jalan mudah untuk memperoleh pendapatan lumayan mencecah ribuan ringgit hasil daripada aktiviti terlarang tersebut.

Terbaharu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim, Mohd Shafie Paing, memberitahu, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 200 kilogram daun ketum bernilai RM36,000 ke Thailand di pesisir pantai Kuala Perlis di sini semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 pagi itu, sebuah bot ronda telah melakukan pengesanan dan serbuan menerusi Op Aman setelah menerima maklumat awam mengenai sindiket tempatan yang bergiat aktif melakukan aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran.

“Anggota Maritim Malaysia telah mengesan empat individu dalam keadaan mencurigakan yang baru sahaja selesai memunggah keluar muatan guni putih disyaki daun ketum dari sebuah kenderaan jenis Proton Iswara ke dalam sebuah bot terbiar di pesisiran pantai.

“Mereka (penyeludup) sedang menunggu kedatangan bot yang dipercayai untuk tujuan diseludup ke negara jiran melalui jalan laut. Namun, sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak penguat kuasa, mereka bertindak melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut ke atas guni putih terbabit telah menemukan daun ketum yang dibungkus di dalam plastik kecil dengan anggaran berat 200 kilogram dengan bernilai RM36,000,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua guni putih berisi daun ketum itu telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya