Pihak ketiga berkepentingan tiada niat baik menuntut harta sita - Utusan Malaysia

Pihak ketiga berkepentingan tiada niat baik menuntut harta sita

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, pihak ketiga berkepentingan yang ingin menuntut harta berupa ratusan beg tangan mewah pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri serta
16 pihak lain, tidak mempunyai niat yang baik untuk menuntut harta tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifudin Hashim Musaimi berhujah, hasil daripada siasatan pihak polis berdasarkan laporan maklumat awal menunjukkan harta-harta itu diperoleh daripada aktiviti wang haram.

Menurut beliau, justeru itu tiada `jalan’ langsung yang membolehkan pihak ketiga atau mereka yang berkepentingan menuntut harta berkenaan kerana wujud kesalahan pengubahan wang haram menyebabkan status wang dan kewujudan barangan-barangan berharga itu diragui.

Sehubungan itu, Muhammad Saifudin menghujahkan bahawa pihak penuntut gagal memberikan sebarang sebab yang munasabah mengapa harta-harta berkenaan tidak boleh dilucuthak.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berhujah, hasil siasatan polis juga menemukan tiga proses jejakan wang yang dilapisi aktiviti haram serta mengesan entiti penerimanya.

Hujah pendakwa raya, walaupun tiada transaksi tunai berlaku dan hanya melibatkan cek, namun pengaliran keluar masuk wang itu adalah melibatkan wang yang telah tercemar.

Menurut Faten Hadni, tiada penjelasan yang munasabah mengapa wang berjuta-juta ringgit dipindah masuk ke dalam akaun dalam keadaan sedar walhal pemindahan itu bukan hasil aktiviti scam.

“Jika derma, mengapa pula perlu dipulangkan dan nilainya besar melibatkan jutaan ringgit. Kami bukan hendak menunjukkan siapa bersalah dalam hal ini tetapi untuk menunjukkan aktiviti pengubahan wang telah berlaku,” pertikai pihak pendakwaan.

Mahkamah turut diberitahu, pemilik akaun perlu menunjukkan bahawa pihaknya tidak tahu menahu berhubung pemindahan masuk wang yang dilakukan berkali-kali untuk tempoh tertentu.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon agar permohonan kerajaan untuk melucuthak harta-harta milik 18 pihak itu dibenarkan.

Permohonan yang didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 1 April ini untuk penghujahan pihak responden.

Mahkamah sedang mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak barangan yang disita dari kediaman bekas Perdana Menteri itu dan 17 pihak lain, dua tahun lalu.

Pihak pendakwaan menamakan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd. Najib dan Nooryana Najwa Mohd. Najib serta Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib) sebagai responden pertama hingga kelima.

Selain itu, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho), Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isterinya Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden-responden.

Antara barangan yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000.

Ia melibatkan Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada 11 Jun 2018 ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama.

Sebanyak 27 buah kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah Pulau Pinang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya