KOTA BHARU: Penduduk setempat di sekitar Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini tidak melepaskan peluang menangkap udang geragau sambil bersantai di pantai ketika musim panas.
PCB terkenal sebagai lokasi menangkap udang geragau atau lebih dikenali sebagai udang baring dalam kalangan masyarakat tempatan dan biasanya banyak ditemukan sekitar Februari dan Mac.
Tinjauan Utusan Malaysia di PCB mendapati, penduduk turun beramai-ramai menangkap udang geragau dengan menggunakan jaring halus atau tudung saji untuk mengaut udang itu.
Seorang penduduk, Mohd. Iman Rosli, 26, berkata, dia bersama 10 saudara-mara yang merupakan nelayan, pergi ke pantai itu yang tidak jauh dari rumah pada waktu tengah hari untuk menangkap udang.
“Kebiasaannya, kami akan menggunakan jaring bersaiz besar untuk menangkap udang geragau.
“Dalam tempoh dua jam, dianggarkan 200 kilogram udang geragau berjaya ditangkap. Hasil tangkapan itu akan dijual kepada penduduk kampung pada harga RM5 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia turut berkongsi petua bagaimana mengesan lokasi yang terdapat udang geragau.
“Kita boleh rasa apabila bahagian kaki seperti dicubit halus ketika turun ke pesisir pantai selain melihat air laut yang kemerah-merahan,” katanya.
Mohd. Iman yang baru menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sains Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengakui teruja apabila dapat membawa pulang banyak tangkapan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Sementara itu nelayan dari Pantai Kundur, Ghazali Mamat, 58, berkata, udang geragau kebiasaannya ditemukan secara bermusim iaitu sekali hingga empat kali dalam tempoh setahun.
Katanya, dia akan berjalan kaki dari rumah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari PCB semata-mata mahu menangkap udang geragau.
“Saya lihat banyak hasil tangkapan diperoleh penduduk di situ sebelum dijual kepada penduduk sekitar. Sememangnya, setiap kali musim menangkap udang geragau, kawasan PCB pasti akan meriah,” katanya.