Pesara guru mengaku tidak bersalah cederakan kucing - Utusan Malaysia

Pesara guru mengaku tidak bersalah cederakan kucing

PESARA guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini kerana didakwa mencederakan seekor kucing betina dengan menggunakan sebatang besi, November tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang pesara guru mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seekor kucing betina dengan menggunakan sebatang besi ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Cosmos Chong Say Hun, 79, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Say Hun didakwa secara tidak munasabah membaling sebatang besi tajam sepanjang 3.5 kaki hingga menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada seekor kucing betina baka tempatan berwarna putih dan bertompok hitam.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 6.40 petang pada 15 November lalu di halaman rumah bernombor 16, Lengkok Tembaga, Island Park di sini.

Perbuatan tersebut didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam, Simon Murali.

Tertuduh dibebaskan tanpa dikenakan wang jaminan manakala tarikh sebutan semula ditetapkan pada 19 April.

Kucing yang didakwa dicederakan oleh warga emas berkenaan turut dibawa ke mahkamah hari ini dan difahamkan kucing betina berkenaan yang diberi nama Baby kini lumpuh.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai tindakan seorang warga emas yang mencederakan seekor kucing dengan menggunakan sebatang besi.

Dia dikatakan bertindak demikian kerana berang selepas mendakwa kucing berkenaan mengotori laman rumahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya