Pesanan terakhir arwah tanda pergi selamanya - Utusan Malaysia

Pesanan terakhir arwah tanda pergi selamanya

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat Ariff Helmi Saharudin yang ditemukan berdekatan sangkar ternakan ikan patin di Kampung Lada, Jerantut semalam. -Ihsan Bomba dan Penyelamat Pahang 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dua pesanan yang agak bersahaja, tetapi, pelik rupa-rupanya petanda seorang pengusaha ikan sangkar, Ariff Helmi Saharudin, 26, untuk pergi buat selama-lama meninggalkan keluarganya.

Pesanan berkenaan adalah membenarkan sesiapa sahaja mengambil alih bot miliknya selain meminta menyimpan masakan yang dimasak oleh ibunya.

Ariff Helmi lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai Pahang berhampiran sebuah sangkar ikan di Kampung Lada, dekat sini, kira-kira pukul 11 malam, kelmarin. 

Mayat mangsa ditemukan pasukan bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 3.16 petang, tiga meter dari tempat kejadian.

Adiknya, Muhammad Haikal Saharudin, 21, berkata, tiga hari sebelum kejadian, abangnya yang selalunya periang di rumah berubah menjadi agak pendiam.

“Malah arwah mula bertukar tabiat tidak makan di rumah yang lazimnya kerap bersama keluarga.

“Abang juga menyampaikan hasrat, iaitu menawarkan kepada sesiapa yang hendak memiliki bot miliknya… ambillah botnya kerana dia tidak perlu lagi,” katanya di Kampung Lada di tempat kejadian semalam.

Lebih menyedihkan lagi apabila mengenangkan kejadian abangnya yang dipercayai jatuh ke air dan lemas berdekatan sangkarnya, Muhammad Haikal berkata, arwah turut berpesan supaya menyimpan sedikit makanan yang dimasak oleh ibu mereka.

“Itulah antara pesanan abang yang saya dengar beberapa hari lalu sehingga kami sekeluarga benar-benar kehilangan arwah,” katanya.  

Sementara itu rakan arwah, Fauzi Dollah, 46, berkata, dia menerima pelawaan Ariff Helmi untuk pergi melihat ternakan ikan patin dan itulah pertama kali melihat projek ternakan sangkar hasil usaha rakannya.

“Selapas mengambil ikan patin pada pukul 11 malam, arwah meminta saya naik ke tebing dan menunggu di kenderaan kerana dia mahu beri makanan ikan. 

“Setelah lama menunggu, dia tidak muncul, saya pun turun semula ke sungai tempat ternakannya dan mendapati tidak ada di kawasan sangkar. Saya terus memberitahu orang kampung,” ujarnya.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Saharudin Ali, 68, berkata, dia bersyukur kerana jasad anak ketiga dari enam beradik itu ditemukan oleh pasukan bomba berdekatan dengan sangkar miliknya.

“Apapun saya reda dengan kejadian yang menimpa Ariff Helmi dan segala-galanya merupakan ketentuan  dari Allah SWT,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya