PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun untuk hari kedua berturut-turut.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 125 individu ditahan kelmarin berbanding 134 diberkas Isnin dan 458 individu dicekup pada Ahad lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 111 dikompaun manakala 14 direman dengan kes tertinggi ialah rentas kawasan tanpa kebenaran sebanyak 43,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Ini diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka (29), gagal sedia alat rekod butiran diri (28), tidak patuh jarak fizikal (11), ingkar arahan kuarantin (lima) dan lain-lain lagi (sembilan).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 69,452 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,743 pasukan di seluruh negara.
Ismail Sabri menambah, seramai 15,974 anggota itu memantau sebanyak 6,325 restoran, 4,759 pasar raya, 4,574 kilang, 4,164 penjaja, 3,107 bank selain 1,058 buah pejabat kerajaan.
Turut dipantau ialah 18,014 tempat riadah, 257 rumah ibadah selain 3,278 terminal pengangkutan darat, 1,675 terminal pengangkutan air dan 1,457 terminal pengangkutan udara.
Seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin ditahan semalam melalui Op Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung kes wabak Covid-19.
“Sebuah kenderaan darat dirampas selain 30 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.
Op Benteng itu jelas beliau, turut mengadakan 269 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 51 dilaksanakan polis.
Beliau memaklumkan, sejumlah 88 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 26 zon merah, lima zon jingga, 10 zon kuning dan lima zon hijau.
Katanya, ini melibatkan penugasan seramai 467 anggota bomba dan 190 anggota pihak berkuasa tempatan serta dibantu dengan penggunaan sebanyak 100 buah jentera bomba.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 829 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 7,014 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 75 hotel serta 12 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.
Seramai 1,050 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 138,835 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 550 peruncit, 162 pemborong dan 32 pengilang.
Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 1,697 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya lima premis terbabit diberikan nasihat.