Pesalah ingkar SOP kembali turun semalam - Utusan Malaysia

Pesalah ingkar SOP kembali turun semalam

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun kembali setelah naik sebelumnya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 41 individu diberkas semalam berbanding 54 individu ditahan kelmarin dan 38 individu dicekup pada Sabtu lalu.

“Daripada jumlah itu, 28 dikompaun dan 13 lagi direman dengan kes tertinggi ialah masih lagi gagal sedia alat merekod butiran diri iaitu 24 kes,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Ini diikuti kesalahan ingkar tidak memakai pelitup muka (tujuh), merentas kawasan lain tanpa izin polis (lima), tiada pematuhan jarak fizikal (dua) dan pelbagai kesalahan lain (tiga).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 67,134 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,866 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, seramai 16,934 anggota itu memantau sebanyak 5,571 restoran, 7,122 pasar raya, 2,953 penjaja, 4,316 bank, 2,215 kilang selain 1,134 buah pejabat kerajaan.

Turut dipantau ialah 1,695 tempat riadah, 3,409 rumah ibadah, 2,487 pasar, 1,472 terminal pengangkutan darat, 424 terminal pengangkutan air dan 112 terminal pengangkutan udara.

Sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan membendung kes Covid-19.

Enam PATI diusir selain dua kenderaan darat dirampas dan 96 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 266 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 51 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 61 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 19 zon merah, 10 zon jingga, 12 zon kuning dan empat zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 281 anggota bomba selain 220 anggota pihak berkuasa tempatan yang turut dibantu dengan penggunaan sebanyak 54 buah jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 865 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,072 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 75 hotel serta sembilan institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 1,135 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 145,461 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 557 peruncit, 153 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 2,181 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis mematuhi peraturan ditetapkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN