KUALA LUMPUR: Seluruh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebulat suara bersetuju untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysian (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul itu terkandung dalam ucapan dasar Presiden dengan antara salah satu intipati dianggap penting membabitkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.
“Usul ucapan dasar Presiden telah diterima sebulat suara, antara intipati usul termasuk satu usul dianggap penting adalah keputusan MT (penamatan kerjasama) untuk dibawa ke perhimpunan.
“Oleh itu UMNO tidak akan berkerjasama dengan Bersatu atau PN dalam pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu sewaktu pergulungan, seluruh perwakilan UMNO sebulat suara memberikan kuasa Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada UMNO untuk menarik sokongan kepada PN.