IPOH: Orang ramai berpeluang mendekati lokasi prasejarah berusia lebih 5,000 tahun yang kini menjadi antara warisan arkeologi bandar Ipoh apabila kawasan kaki Gunung Matsoorat berdekatan Gunung Lang di sini, dimajukan bagi projek ekopelancongan.
Lokasi tarikan pelancongan baharu ini adalah sebahagian daripada Projek Pertanian Bandar atau urban farming di kaki gunung tersebut oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, cadangan yang akan dilaksanakan itu diterajui oleh PPPNP bagi projek pertanian dengan kerjasama pihak Rymba Management menawarkan pakej aktiviti lasak terkawal.
Menurut beliau, dengan aktiviti itu, ia dapat menjadikan kaki Gunung Masoorat sebagai salah satu tempat ekopelancongan yang boleh menarik pengunjung di samping tarikan sedia ada di Gunung Lang.
“Selain itu, usahasama dengan pihak Green Valley Agriculture turut dilakukan melalui cadangan tanaman didroponik dan fertegasi yang akan dilaksanakan di kawasan kaki gunung ini.
“Pendekatan projek pertanian bandar ini juga dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian sebagai penyumbang terus kepada kesejahteraan serta menyokong usaha kerajaan di dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Projek Pertanian Bandar ‘Urban Farming’ di kaki Gunung Masoorat, hari ini.
MoU dimeterai MBI yang diwakili Rumaizi dengan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya melibatkan kolaborasi antara PPPNP dengan syarikat Green Valley Agriculture dan Rymba Management. – UTUSAN ONLINE