Persoal darurat: Guan Eng beri kenyataan kepada polis hampir satu jam - Utusan Malaysia

Persoal darurat: Guan Eng beri kenyataan kepada polis hampir satu jam

LIM Guan Eng bersama peguamnya, RSN Rayer ketika hadir di IPD Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang pagi ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kenyataan bersama Majlis Presiden PH pada 12 Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini memberi keterangan kira-kira satu jam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, berhubung kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang mempersoal pelaksanaan darurat, 12 Januari lalu.

Guan Eng yang ditemani peguam, R.S.N Rayer tiba di IPD itu kira-kira pukul 11.25 pagi sebelum keluar kira-kira pukul 12.25 tengah hari.

Bercakap kepada pemberita di pekarangan IPD selepas memberi keterangan, Rayer berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang dilakukan oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman tersebut.

“Setakat ini kami dimaklumkan keterangan Guan Eng berhubung siasatan kes ini sudah selesai diambil sepenuhnya,” kata beliau.

Polis sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung kenyataan bersama PH itu yang didakwa mempersoal keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengusulkan pelaksanaan darurat di seluruh negara bagi menangani pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan bersama itu, tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat tersebut kerana beliau kehilangan sokongan untuk membentuk kerajaan.

“Tindakan oleh Muhyiddin adalah tidak boleh diterima sama sekali. Oleh itu, beliau jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan pengisytiharan darurat demi kepentingan diri,” kata kenyataan bersama tersebut.

Selain Guan Eng, kenyataan itu turut dikeluarkan dua lagi pemimpin pembangkang iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Terdahulu, polis mengambil keterangan Anwar bagi membantu siasatan kes sama di ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur pada 26 Februari lalu manakala Mohamad Sabu dijangka memberi keterangan esok.

Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Polis sebelum ini mengesahkan membuka siasatan terhadap Anwar susulan sekurang-kurangnya 13 laporan yang diterima berhubung rayuan untuk menggugurkan pengisytiharan darurat.

Dalam pada itu, Rayer menggesa polis melakukan siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung keperluan mengadakan sidang Parlimen.

Menurut beliau, laporan terhadap Takiyuddin dibuat Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari kelmarin berikutan Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu jelas tidak memberi halangan untuk sidang Parlimen diadakan ketika darurat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya