Permohonan Shahrir pindah kes ke Mahkamah Tinggi 21 Mei - Utusan Malaysia

Permohonan Shahrir pindah kes ke Mahkamah Tinggi 21 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Mei ini bagi mendengar permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri
Shahrir Abdul Samad untuk memindahkan perbicaraan kesnya melibatkan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta, ke Mahkamah Tinggi.

Shahrir, 72, didakwa gagal mengisytiharkan wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas membenarkan penangguhan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, perbicaraan yang sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada 22 dan 23 April ini, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan Shahrir untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali dan Natrah Fareha Rahmat memohon penangguhan atas alasan pihak
pendakwaan perlu memberi maklum balas terhadap satu notis usul yang difailkan oleh pemohon (Shahrir) pada 23 Mac lalu.

Menurut mereka, pihak pendakwaan perlu membalas fakta baharu dalam afidavit tambahan yang dimasukkan oleh Shahrir bagi menyokong notis
usul tersebut.

Sementara itu, dalam afidavit tambahan yang diikrarkannya, Shahrir menyatakan, beliau telah memperoleh keterangan baharu bagi menyokong
permohonannya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Menurut afidavit itu, keterangan material tersebut diperolehi melalui pengakuan mengejutkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas
dalam buku biografinya bertajuk `My Story: Justice in the Wilderness’ serta kenyataan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bertarikh 4 Februari lalu.

Menurut Shahrir, pendedahan Tommy menyentuh pertuduhan kes-kes berprofil tinggi melibatkan ahli-ahli politik semasa beliau berjawatan
Peguam Negara antaranya melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemohon menyatakan, bagi kedua-dua kes itu, Tommy selaku Peguam Negara yang mewakili pihak pendakwaan memulakan insiatif memindahkan sendiri kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Shahrir berkata, kes-kes berprofil tinggi lain termasuk melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor dan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee
Abdullah turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tanpa bantahan daripada pihak pendakwaan.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir bahawa kes melibatkan Muhammad Shafee dipindahkan tanpa bantahan, namun kes anak guamnya dibantah.

Ujarnya, tindakan pendakwa raya yang tidak membantah perpindahan kes Rosmah dan Muhammad Shafee secara tidak langsung menunjukkan pendakwaan berpandangan Mahkamah Tinggi lebih sesuai mendengar dan memutuskan kesnya.

“Bagaimanapun, permohonan saya (untuk memindahkan kes) telah dibantah oleh pihak pendakwaan dan tindakan itu menunjukkan hak saya
untuk kesamarataan di sisi undang-undang telah dinafikan,” ujarnya.

Shahrir mengikrarkan bahawa perbicaraan kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuannya berakhir di Mahkamah Rayuan manakala kes yang bermula di Mahkamah Tinggi, rayuannya berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, pemohon menyatakan, dia tidak akan dibicarakan dengan saksama jika kesnya didengar di Mahkamah Sesyen.

Pemohon menyatakan, pendedahan Tommy menyebabkan Idrus mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan para pegawainya dengan
menyatakan peguam tersebut tidak memahami fungsi jawatan Peguam Negara yang disandangnya.

Shahrir dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai
Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan berjumlah
RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25
April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya