KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 29 Jun ini bagi mendengar tuntutan pihak berkepentingan dalam permohonan kerajaan untuk melucut hak harta bernilai hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai milik keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas kesemua pihak iaitu pemohon, responden dan penuntut bersetuju dengan tarikh pendengaran tersebut.
Kerajaan selaku pemohon, responden adalah isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd. Noor serta empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd. sementara penuntut adalah Maybank Islamic Berhad.
Dalam prosiding hari ini, pemohon diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, responden diwakili peguam Datin Marina Mohamed manakala penuntut diwakili peguam Poh Choo Hoe.
Dalam prosiding hari ini, Nik Haslinie memaklumkan bahawa terdapat pihak ketiga iaitu penuntut Maybank Islamic Berhad hadir ke mahkamah.
“Mohon mahkamah merekodkan bahawa terdapat penuntut hadir dalam permohonan ini. Boleh disahkan penuntut menuntut harta di item keenam pada senarai warta kerajaan,” katanya pada prosiding pewartaan pihak ketiga yang dijadualkan hari ini.
Sementara itu di luar mahkamah ketika ditemui pemberita, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memaklumkan item keenam yang dituntut oleh penuntut adalah sebuah lot kedai yang terletak di Bandar Sunway, dekat sini.
Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.
Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE
ends.