Permohonan beku wang AS$340j 6 Sept. - Utusan Malaysia

Permohonan beku wang AS$340j 6 Sept.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah penuh pembekuan wang AS$340 juta milik PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) yang dikaitkan dengan dana diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar pada 6 dan 7 September ini.

Permohonan itu juga akan didengar di hadapan hakim baharu iaitu Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh. 

Kes itu sebelum ini didengar di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed ketika ditemui selepas prosiding dalam kamar hakim di sini mengesahkan tarikh pendengaran tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditanya sekiranya terdapat sebarang persetujuan penyelesaian kes itu, Budiman hanya memaklumkan `perbincangan masih berjalan’.

Pada 16 Julai 2020, Hakim Mohd. Nazlan membenarkan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah interim untuk menyekat PSI dan pengarahnya, Tarek Obaid dan PSOS-VZ untuk memindahkan wang tersebut kepada entiti lain.

Bagaimanapun, perintah interim tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya selepas National Crime Agency (NCA) yang berpengkalan di London berdepan dengan kesukaran tentang cara pelaksanaannya.

Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Ogos 2020 bagaimanapun membenarkan permohonan PSOS-VZ untuk menggunakan AS$1.357 juta bagi bayaran perbelanjaan perniagaan dan yuran guaman.

Wang AS$340,258,246.87 juta kini tersimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, United Kingdom dan tidak digunakan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Julai lalu, kerajaan memohon perintah bagi menyekat sebarang urusan kewangan, berjumlah AS$340 juta milik PSI dan anak syarikatnya, PSOS-VZ yang dipegang oleh Clyde & Co. LLP.

Kerajaan juga memohon sekatan sama bagi sejumlah wang yang tidak dinyatakan nilainya dan disimpan di Barclays Bank di bawah penama ‘Temple Fiduciary Services’.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co. dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya