Permohonan Abdul Azeez untuk batal pertuduhan ditolak - Utusan Malaysia

Permohonan Abdul Azeez untuk batal pertuduhan ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim gagal membuktikan bahawa 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya adalah cacat, tidak berasas dan berniat jahat (mala fide).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berpuas hati ketiga-tiga alasan yang dikemukakan oleh Abdul Azeez, 54, untuk membatalkan semua pertuduhan terhadapnya, tidak mempunyai merit yang mewajarkan mahkamah menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonannya.

Beliau berpendapat, semua pertuduhan telah dirangka dengan sempurna dan menjadikan satu tindakan pramatang pada peringkat ini jika mahkamah memutuskan semua pertuduhan yang dikemukakan adalah tidak berasas.

Oleh yang demikian, mahkamah menolak permohonan Ahli Parlimen Baling itu agar semua pertuduhan yang dikemukakan terhadap dibatalkan dan beliau dilepas dan dibebaskan.

Ekoran keputusan itu, perbicaraan terhadap Abdul Azeez dijadual diteruskan pada Isnin ini. Setakat ini lima saksi telah memberi keterangan.

Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh memaklumkan, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad.

Ketika membacakan penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat meskipun pihak pembelaan menghujahkan pendakwa raya tersalah guna budi bicara ketika mendakwa beliau.

Pada hemat beliau, pendakwa raya melaksanakan budi bicara seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang walaupun pembelaan menyatakan tertuduh disiasat berkaitan isu Tabung Haji sedangkan tuduhan yang dikemukakan tiada kaitan dengan agensi tersebut.

Muhammad Jamil selanjutnya menyatakan, pertuduhan itu dirangka dengan sempurna walaupun intipati pertuduhan menggabungkan empat projek berasingan dalam satu pertuduhan.

Hakim berkenaan menjelaskan, tiada pelanggaran Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang memperuntukkan bahawa pertuduhan berasingan perlu dibuat bagi setiap kesalahan berlainan.

Muhammad Jamil turut berpuas hati bahawa pertuduhan itu tidak mengelirukan kerana ia mengandungi segala butiran seperti mana yang dikehendaki oleh Seksyen 152 dan Seksyen 153 CPC.

Jelas hakim itu, pembelaan menghujahkan bahawa wujud kekurangan butiran kerana pertuduhan tidak menyatakan bagaimana dan dalam bentuk apa wang diterima serta tarikh yang lengkap dan tempat yang tepat, sebaliknya hanya menyatakan sekitar Lembah Klang.

Muhammad Jamil berkata, butiran yang tertinggal dalam pertuduhan hanya merupakan ketidakaturan yang boleh dipulihkan dengan meminda pertuduhan pada mana-mana peringkat perbicaraan dengan kebenaran mahkamah.

Selain itu, pengubahan wang haram merupakan kesalahan yang boleh berdiri dengan sendiri kerana kesalahan adalah berkaitan hasil aktiviti haram yang mana keterangan boleh dikemukakan melalui saksi-saksi.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi sejumlah 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya