Perlu ujian calitan masuk Sabah, Sarawak, Labuan - Utusan Malaysia

Perlu ujian calitan masuk Sabah, Sarawak, Labuan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua individu yang akan memasuki Sabah bagi urusan kerja atau pelbagai perkara perlu menjalani ujian calitan dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan ke negeri itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan itu juga perlu mendapatkan kebenaran polis.

“Tidak kira masuk ke Sabah melalui pintu masuk darat, laut dan udara, hanya individu dengan keputusan negatif dan tidak bergejala yang dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Bagaimanapun ujar beliau, mereka tidak perlu menjalani kuarantin dan bagi pergerakan keluar dari Sabah ke Semenanjung juga tiada ujian calitan sebelum berlepas dari negeri tersebut.

Sebaliknya katanya, individu dari Sabah dan Semenanjung yang mahu ke Sarawak atau Labuan dengan kebenaran polis pula perlu ujian itu dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas.

Situasi ini jelas Ismail Sabri, termasuk bagi urusan kerja atau sebagainya dan mereka turut perlu menjalani proses kuarantin di stesen tertentu selama tempoh 14 hari sejurus tiba di situ.

“Bagi rakyat Sarawak, kos ujian dan kuarantin akan ditanggung sendiri oleh pihak kerajaan negeri itu, manakala bukan rakyat Sarawak, kos itu adalah atas tanggungan sendiri,” katanya.

Namun, untuk pergerakan dari Sarawak ke Semenanjung pula tidak perlu ujian itu sebelum berlepas tetapi dari Sarawak ke Sabah dan Labuan perlu dibuat tiga hari sebelum berlepas.

Beliau turut memaklumkan, atas kehendak kerajaan Sarawak, larangan rentas daerah masih kekal walaupun negeri itu sudah berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara itu tambahnya, semua individu yang akan memasuki Labuan bagi pelbagai urusan dengan kebenaran polis perlu melalui ujian calitan dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas.

“Hanya individu dengan keputusan negatif dan tidak bergejala dibenarkan masuk dan tidak perlu menjalani kuarantin sejurus tiba di pulau Wilayah Persekutuan yang kedua itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi pergerakan keluar dari Labuan ke Semenanjung tidak perlu ujian itu sebelum berlepas tetapi dari Labuan ke Sarawak pula perlu dibuat tiga hari sebelum berlepas.

Mereka juga menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba di Sarawak dan bagi pergerakan keluar dari Labuan ke Sabah juga perlu ujian dalam tempoh tiga hari sebelum tiba di negeri itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya