Perlu segera fatwa khusus solat Jumaat luar pagar masjid - Utusan Malaysia

Perlu segera fatwa khusus solat Jumaat luar pagar masjid

TANGKAP layar menunjukkan jemaah menunaikan solat Jumaat di luar sebuah masjid di Bangi, Selangor baru-baru ini. - INSTAGRAM MOHD. IZHAR ARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mufti-mufti negeri di seluruh negara disaran segera mengeluarkan fatwa khusus mengenai hukum solat Jumaat di luar pagar masjid dalam situasi pandemik Covid-19.

Perkara itu disuarakan pendakwah terkenal, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim yang sedih melihat suasana solat tersebut di salah sebuah masjid terbaik di Malaysia, baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi Instagram miliknya, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berpendapat, fatwa sedemikian perlu dalam senario semasa.

“Saya berpandangan (bahawa) satu fatwa daripada mufti-mufti negeri mengenai situasi solat Jumaat (secara jemaah) di luar pagar masjid ketika musim Covid-19 ini perlu dibuat segera.

“Ini kerana kita sekarang dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Umat Islam perlu tahu hukum solat di luar masjid pada hari Jumaat jika mereka dilarang masuk akibat dewan penuh,” katanya.

Hantaran Pensyarah Fiqah Fatwa Semasa UKM itu tular diperkatakan warganet selain beliau turut memuat naik video yang memaparkan ratusan jemaah bersolat di luar sebuah masjid.

Rakaman berdurasi selama 25 saat itu menunjukkan keadaan mereka bersembahyang di tepi jalan dan koridor kedai di luar sebuah masjid di Bangi, Selangor pada Jumaat lalu.

Hanya 300 orang jemaah dibenarkan bersolat Jumaat di dalam masjid itu yang mula dibuka pukul 12.15 tengah hari dan terus ditutup 15 minit kemudian setelah kuota maksimum habis diisi.

Mengulas lanjut, Mohd. Izhar Ariff berkata, dari segi hukum asas, sah solat dengan syarat jarak makmum mesti kurang 300 dzira’ atau hasta dari makmum saf terakhir dalam masjid itu.

“Selain itu, makmum di luar masjid kena tahu pergerakan imam sama ada dengan lihat atau dengar suara dan harus jika ada uzur seperti terhalang tiang dan seumpamanya,” kata beliau.

Juster,u ujarnya, fatwa semasa berkaitan isu solat berkenaan perlu disegerakan supaya umat Islam tidak tertanya-tanya dan mungkin melakukan sesuatu dilarang dari segi hukum syarak.

Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mendapati, ada fatwa mengenai perkara itu dan diterbitkan pada 2018 lalu.

Ia dengan jelas menyatakan bahawa hukumnya adalah sah yang berpandukan jumhur ulama serta merujuk garis panduan daripada kitab al-Qaul al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya