Perlis benarkan jemaah rapat saf mulai esok - Utusan Malaysia

Perlis benarkan jemaah rapat saf mulai esok

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Perlis membenarkan jemaah daripada ahli keluarga yang tinggal sebumbung untuk merapatkan saf ketika hadir solat di masjid di negeri ini, bermula esok.

Bagaimanapun, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter perlu dilakukan ketika bersama jemaah yang lain seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara itu telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah melihat kepada keperluan sedia ada dan tahap ketaatan serta kepatuhan tinggi seluruh rakyat negeri ini.

“Kebenaran ini terpakai untuk semua aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu termasuk solat tarawih dan kuliah pengajian di semua masjid di negeri ini.

“Kebenaran ini juga diperluaskan di surau asrama manakala pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis masih tidak dapat diizinkan,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut meminta seluruh rakyat agar sentiasa mengutamakan integriti dan kejujuran dalam menjamin kelancaran pelaksanaan ketetapan tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN