Perkampungan koko di Lipis tahun ini - Utusan Malaysia

Perkampungan koko di Lipis tahun ini

ALIAKBAR Gulasan (tengah) menyampaikan Baucar Input Pertanian bernilai RM26,449 pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Jengka di Maran, Pahang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Lembaga Koko Malaysia (LKM) akan mewujudkan Perkampungan Koko seluas 77 hektar di Senderut, Lipis, dekat sini, tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola LKM, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, perladangan koko itu adalah projek perintis pembangunan industri komoditi negara.

Katanya, projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat membabitkan 77 hektar ladang koko termasuk 17 hektar sedia ada.

“LKM memilih 143 petani daripada 5,000 penduduk lebih lapan kampung tradisi di kawasan berkenaan.

“Perkampungan koko ini akan dilengkapi pelbagai infrastuktur untuk peserta dan menjadikannya destinasi pelancongan pertanian,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Cendera Kenangan Bakal Pesara di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko (PPPK) Jengka di sini, kelmarin.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd.Halim; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) LKM, Dr. Ahmad Kamil Mohd. Jaaffar dan Pengurus Pusat PPPK Jengka, Dr. Roziya Osman.

Aliakbar berkata, misi LKM ialah memperkasakan petani koko sedia ada di samping mencari petani baharu yang menjadikan komoditi berkenaan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Di samping itu, katanya, LKM berusaha membuka ladang koko berskala besar berikutan permintaan tinggi koko mentah di pasaran tempatan.

“Pada masa sama LKM berusaha melahirkan lebih banyak usahawan koko membuat pelbagai produk coklat berbanding hanya 200 orang setakat ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, keluasan tanaman koko di Malaysia ialah kira-kira 5,018 hektar membabitkan 5,046 petani.

Tambahnya, keluaran komoditi koko pada tahun lalu ialah sebanyak 706 tan metrik dengan nilai komersial kira-kira RM5 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya