Perincian senarai kadar kompaun mengikut kesalahan diumum esok - Utusan Malaysia

Perincian senarai kadar kompaun mengikut kesalahan diumum esok

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penetapan perincian lengkap senarai kadar kompaun mengikut jenis kesalahan berkaitan ingkar prosedur operasi standard (SOP) masih diteliti sebelum diumumkan esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat teknikal antara dua pihak yang terlibat juga sedang berlangsung hari ini sebelum ia dimuktamadkan.

“Ia membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan wakil Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Darurat Covid-19 petang ini berhubung isu kompaun RM10,000 bagi pesalah SOP.

Semalam, Takiyuddin memaklumkan kerajaan akan memperincikan jenis kesalahan bagi yang ingkar Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

Ia susulan tular melalui media sosial memaparkan ramai individu kesal dan marah apabila dikenakan kompaun sehingga jumlah maksimum itu walaupun kesalahan dilakukannya agak kecil.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberi bayangan awal kadar kompaun mungkin ditetapkan berbeza mengikut latar belakang pesalah dan atas budi bicara Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Sebenarnya, mereka yang berasa teraniaya itu kena buat rayuan kepada pegawai PKD dan kompaun ini boleh dikurangkan atau pun langsung dimansuhkan berdasarkan situasi kes.

“Katakanlah pesalah kes gagal memakai pelitup muka itu kebetulan memang orang susah, miskin, anak ramai, berpendapatan kecil, kadarnya boleh diturunkan atau dilepaskan,” katanya.

Tambah beliau, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sendiri mengesahkan kadar RM10,000 itu boleh dirunding dengan pegawai PKD berdasarkan senario kes yang berbeza.

Namun dari segi penguatkuasaan, pihak polis perlu menulis amaun itu manakala dari segi penerimaan bayaran, ia diuruskan oleh PKD termasuk untuk pengurangan atau pemansuhan.

Ismail Sabri berkata, perkara itu kemudian akan dibawa pula dalam mesyuarat Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada esok sebelum diumumkan.

Ditanya mengenai tindakan pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta tertentu yang halang pelajar mereka keluar dari kampus, beliau berkata, pihak terbabit memang ada autoriti itu.

“Keadaan ini bagi jaga keselamatan para pelajar daripada jangkitan Covid-19 dan langkah itu sama seperti dilakukan oleh pihak pengurusan kondomonium tertentu di negara ini,” jelas beliau.  

Justeru, tidak timbul isu pihak pentadbiran pusat pengajian tersebut konon sebagai bertindak tidak wajar kerana langkah tegas itu memang dibolehkan dalam usaha kekang wabak Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN