KUALA PILAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menyelamatkan seekor tapir yang masuk ke dalam perangkap yang dipasang jabatan berkenaan di sebuah ladang di Johol dekat sini hari ini.
Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, tapir betina dewasa seberat 450 kilogram itu berada dalam keadaan sihat selepas pemeriksaan dilakukan.
Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada kakitangan ladang tersebut mengenai tapir yang sering berkeliaran di ladang mereka sejak tahun lepas.
“Oleh itu perangkap telah dipasang pada 24 November tahun lalu. Operasi tangkapan dan menyelamatkan ini melibatkan kakitangan daripada Jabatan Perhilitan Daerah Gemas.
“Tapir yang berada dalam keadaan sihat ini telah dilepaskan kembali ke habitat asalnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.