KOTA TINGGI: Kegembiraan tiga sahabat bercuti di Pantai Batu Layar, di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Hariz Farhat Omar, 23, ditemukan di celah batu kira-kira 30 meter dari pantai.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sebana Cove, PPgB Khairul Sufian Dahari berkata, seorang lagi mangsa Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, masih belum dijumpai.
Katanya pihak bomba menerima panggilan kejadian itu pada pukul 10.59 pagi sebelum seramai 19 anggota dari BBP Punggai, BBP Bandar Penawar termasuk anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat dua orang mangsa dipercayai lemas di mana seorang mangsa telah dijumpai oleh orang awam di celah batu 30 meter daripada pantai.
“Mangsa dipercayai sedang mandi ketika air surut dan telah ditarik arus. Pasukan operasi sedang membuat pencarian seorang lagi mangsa yang masih belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pihak bomba turut membuat rawatan awal kepada mangsa lelaki yang ditemukan itu, namun, telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi tindakan selanjutnya. -UTUSAN ONLINE