IPOH: Perak melancarkan Pelan Pembangunan Sejahtera 2030 yang akan menjadi asas dalam pembangunan negeri untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelan pembangunan itu dirancang berasaskan lima teras strategik.
Jelasnya, ini meliputi keseimbangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi, kerjasama pintar, kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi, sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli serta kepakaran berkualiti dan bernilai tinggi.
Menurutnya, teras strategik itu mengambil kira pelbagai cabaran semasa di peringkat domestik dan faktor-faktor luaran lain bagi menjadikan negeri ini sejahtera, berdaya maju dan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, lima teras itu berpaksi kepada nilai bersama iaitu jujur, bijaksana, prihatin, kebersamaan dan tegas.
“Dengan visi ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ dan misi ‘Memacu Pembangunan Sosioekonomi yang Mapan, Inklusif dan Dinamik’, pelan ini mencerminkan manifestasi harapan rakyat yang inginkan kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Saarani berkata, pelan itu dibangunkan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Katanya, pelan pembangunan itu digarap dengan mengambil kira pandangan semua termasuk ahli ekonomi dan cendekiawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang muda dan pemimpin setempat.
“Ini ialah kesinambungan kepada pelan-pelan pembangunan terdahulu serta mengambil kira pelan-pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang yang lain di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Antaranya Rancangan Malaysia Ke-12 dan 13, Northern Corridor Strategic Development Plan 2021-2025, Rancangan Struktur Negeri 2040, Kajian Pelan Perindustrian Perak dan lain-lain rancangan pembangunan,” katanya.
Menurut Saarani, pelan yang dirancang bersifat dinamik, realistik dan boleh capai.
“Pelan ini akan membawa Perak mengharungi cabaran-cabaran yang semakin rencam, ia juga menggariskan matlamat negeri untuk pembangunan masa terdekat, sederhana dan jangka masa panjang,” katanya.