HULU TERENGGANU: Seorang penyelia Taska Diha Berkat di Kuala Berang di sini nyaris ditembak perompak yang bersenjatakan senapang angin selepas lelaki tersebut menceroboh masuk ke premis berkenaan, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Qhatijah Ali, 56, bersama enam kanak-kanak di taska tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, suspek yang menceroboh masuk melalui pintu belakang taska turut bertindak mengacu senapang angin pada dahi mangsa ketika di dapur sambil meminta wang.
“Mangsa menepis senjata berkenaan dan suspek melepaskan tembakan, namun terkena pada lantai dapur.
“Suspek kemudian mengambil beg tangan mangsa dan berlaku tarik-menarik sebelum berjaya melarikan beg berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Adli, suspek turut memecahkan cermin tingkap nako di bahagian dapur dan beredar dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah.
Katanya, jumlah kerugian mangsa termasuk wang tunai RM4,000, barang kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya- UTUSAN ONLINE