Penternak terpaksa catu makanan - Utusan Malaysia

Penternak terpaksa catu makanan

MOHD. Daud Abdul Salam menunjukkan jerami padi kering yang diberikan kepada lembu peliharaannya di Kampung Dewan Beta, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Golongan penternak di negeri ini tidak menolak kemungkinan untuk ‘mencatu’ makanan haiwan peliharaan berikutan kenaikan harga dedak dan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Cuaca panas berterusan ini juga menyebabkan stok rumput segar haiwan peliharaan semakin berkurangan, sekali gus menyebabkan penternak diselubungi kebimbangan haiwan peliharaan mereka akan ‘kelaparan’.

Seorang penternak, Mohd. Daud Abdul Salam, 36, berkata, kenaikkan melambung harga dedak ketika ini menyebabkan dia terpaksa menggantikan dedak dengan jerami padi yang dibeli dari Kedah.

Katanya, pembelian jerami merupakan alternatif bagi mengelakkan haiwan peliharaannya kelaparan.

“Walaupun harga dedak terus naik, namun lembu dan kambing tetap dijual pada tangga harga sama.

“Inilah situasi dan dilema yang terpaksa dihadapi para penternak,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Mohd. Daud memberitahu, melihat kepada senario yang semakin merisaukan para penternak, dia berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini.

Katanya, selain masalah harga dan kemarau, situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ini turut memberikan kesan kepada mereka.

Seorang lagi penternak, Mohd. Fakhrurrozi Hassan, 33, berkata, dedak mula naik harga ketika kerajaan menguatkusakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Katanya, harga dedak sebelum ini sekitar RM42 untuk satu guni dengan berat 50 kilogram (kg), tetapi sekarang ia dijual pada harga RM51 untuk berat sama.

“Setiap bulan saya terpaksa membelanjakan antara RM1,400 hingga RM1,600 untuk membeli dedak bagi memastikan haiwan ternakan saya membesar dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN