Penolong pegawai perubatan nafi terima suapan hampir RM28,000 - Utusan Malaysia

Penolong pegawai perubatan nafi terima suapan hampir RM28,000

TERTUDUH Mohd. Zamry Yazid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas 14 pertuduhan menerima wang suapan bernilai hampir RM28,000 tiga tahun lalu. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menerima wang suapan bernilai hampir RM28,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zamry Yazid, 46, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan satu hingga 14, tertuduh yang bertugas di Pejabat Kesihatan Jasin didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan terlibat dalam permohonan penyediaan sebut harga dan pembekalan peralatan perubatan.

Tertuduh telah memperakukan tuntutan bayaran melalui 14 baucar Arahan Pembayaran bagi pembekalan perubatan berjumlah keseluruhan RM27,901 daripada Syarikat Pella Maju Enterprise milik saudaranya, Norfazilah Yazid.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara 9 Oktober 2018 hingga 12 November 2018.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 bagi kesemua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia kini menjaga ibunya yang menghidap strok dan adik perempuan seorang orang kurang upaya (OKU) dengan kedua-duanya mereka tidak berupaya menguruskan diri sendiri.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 21 April depan sebagai sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN