Penjual jersi tiruan didenda RM80,000 - Utusan Malaysia

Penjual jersi tiruan didenda RM80,000

TERTUDUH (baju merah) di bawa keluar dari mahkamah selepas didenda RM80,000 atas kesalahan perdagangan jersi dan seluar tiruan di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peniaga didenda RM80,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki bagi tujuan perdagangan jersi dan seluar tiruan, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Yeo Khang Yau, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Musyiri Peet.

Khang Yau dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Bukit Kaya di sini semasa serbuan dilakukan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Perlis pada 11 Mac tahun lalu.

Hasil serbuan menemukan sebanyak 2,040 helai jersi dan 172 helai seluar pelbagai jenama disyaki tiruan.

Tertuduh berhadapan dua pertuduhan yang didakwa di bawah Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019, ada dalam milikan bagi maksud perdagangan, apa-apa barang atau cap dagangan dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 akta yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Roslina Idris manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

Musyiri Peet telah menetapkan denda sebanyak RM80,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membuat pembayaran.

Tertuduh kemudiannya telah membayar denda terbabit.

Tahun lalu, PPDNHEP telah menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Kaya yang dijadikan pusat pengumpulan dan pengedaran jersi tiruan dipercayai terbesar di wilayah utara.

Lelaki terbabit dikesan mampu meraih jualan sehingga RM120,000 sebulan daripada pengedaran jersi tiruan secara dalam talian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN