Penjaja jalanan ingkar arahan polis - Utusan Malaysia

Penjaja jalanan ingkar arahan polis

MIOR FARIDALATHRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penjaja buah-buahan jalanan di persimpangan lampu isyarat kembali menjaja walaupun telah diberikan amaran oleh pihak polis.

Justeru, mereka diminta menghentikan tindakan tersebut kerana perbuatan itu membahayakan pengguna jalan raya lain dengan mencari lokasi yang lebih sesuai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penjaja jalanan ini kerap diberi amaran oleh pihak polis dan berjanji tidak akan melakukan perkara tersebut, tetapi tetap berniaga semula.

Menurut beliau, untuk itu, polis akan bertindak tegas termasuk menyaman pengguna jalan raya yang membeli kerana perbuatan itu juga salah dan boleh mendatangkan bahaya.

“Kita faham dalam keadaan sekarang ramai yang berusaha untuk mencari rezeki menyara keluarga selain perlu mematuhi peraturan yang ketat disebabkan Covid-19.

“Jadi, nasihat polis, carilah lokasi yang sesuai untuk berniaga dan bukannya di kaki lima jalan raya atau tepi lampu isyarat kerana tindakan itu sebenarnya mengundang bahaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Sepetang Bersama Media Perak Sempena Peringatan Hari Polis ke-214 di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Majlis tersebut bagi menghargai sumbangan pihak media yang sering bekerjasama rapat dengan polis dalam menyampaikan maklumat-maklumat kepada masyarakat khususnya di negeri ini.

Menurut Mior Faridalathrash, masyarakat juga harus sedar bahawa trend menjaja di lampu isyarat sekitar jalan raya adalah satu kesalahan.

“Aktiviti jual beli di tengah-tengah jalan itu bukan sahaja menganggu aliran trafik, malah turut membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya