Penjaja di lampu isyarat bakal disaman - Utusan Malaysia

Penjaja di lampu isyarat bakal disaman

ABDULLAH MAT PIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan saman terhadap penjual jalanan dan pembeli yang berurusan di persimpangan lampu isyarat di seluruh negeri bermula minggu ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, penjual dan pembeli yang dikenakan saman tersebut akan dihadapkan ke mahkamah dan didenda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius terhadap tindakan penjual dan pembeli di lampu isyarat kerana ia menyalahi undang-undang lalu lintas.

“Sebelum ini, polis telah memberi nasihat kepada semua peniaga supaya tidak meneruskan perniagaan bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Mulai minggu ini, kita akan memastikan tiada lagi penjual menjalankan aktiviti menjaja di sepanjang kawasan lampu isyarat di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdullah berkata, tindakan boleh diambil terhadap pembeli dan peniaga di lampu isyarat mengikut Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan tindakan boleh dikenakan dibawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.

Berdasarkan pemerhatian, peniaga menjalankan aktiviti menjaja di lampu isyarat terdiri daripada golongan belia yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN