Peningkatan jenayah seksual akibat 'perang harga' hotel? - Utusan Malaysia

Peningkatan jenayah seksual akibat ‘perang harga’ hotel?

ABDUL MAJID MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: ‘Perang harga’ apartmen dan hotel bajet dipercayai membuka peluang kepada remaja untuk melakukan jenayah seksual yang dikesan semakin meningkat di negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pada 2019, sebanyak 25 kes direkodkan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak dan jumlah itu meningkat kepada 69 kes sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan, kebanyakan kes didapati berlaku di bilik yang disewa secara terus dengan pemilik apartmen yang menyediakan servis sewaan premis atau hotel-hotel bajet sekitar negeri ini.

“Pada tahun ini, sepanjang Januari sehingga hari ini, sebanyak lima kes direkodkan dengan beberapa kes melibatkan remaja berusia antara 15 hingga 16 tahun.

“Kes ini adalah jenayah terancang memandangkan suspek terlibat telah membawa wang dan membayar bilik untuk melakukannya kegiatan itu sama ada di apartmen atau hotel,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka , Bukit Beruang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Majid menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan peningkatan itu berlaku disebabkan harga murah yang ditawarkan oleh pemilik apartmen dan hotel selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kita dapati suspek yang masih muda ini sudah mampu membayar duit menyewa bilik apartment mahu pun hotel bajet.

“Jadi, mungkin juga kemampuan itu disebabkan pemilik apartmen telah menawarkan harga rendah untuk menarik pelanggan, sekali gus mengurangkan kerugian ditanggung mereka sepanjang pandemik,” ujarnya.

Jelasnya, dalam masa terdekat pihaknya bercadang untuk mengadakan sesi dialog bersama pengusaha-pengusaha apartmen dan hotel dalam usaha untuk mengurangkan risiko kes jenayah seksual khususnya melibatkan pelanggan bawah umur.

“Kita juga akan melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik persatuan pesara polis bagi bersama-sama mencari kaedah terbaik menyelesaikan peningkatan kes jenayah ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya