Peningkatan eksport minyak sawit antara kerjasama Malaysia-UEA - Utusan Malaysia

Peningkatan eksport minyak sawit antara kerjasama Malaysia-UEA

MUHYDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Peningkatan eksport minyak sawit ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merupakan antara kerjasama pelaburan dan perdagangan dipersetujui bersama yang dirintis menerusi hasil lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negara itu.

Perdana Menteri memaklumkan, antara kerjasama lain turut dibincangkan dan dipersetujui adalah melibatkan kerjasama antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan kerjasama serta pelaburan dalam sektor pendidikan negara.

Muhyiddin memaklumkan, Kerajaan UAE menekankan kepentingan hubungan antara Malaysia dan negara itu harus dipertingkatkan ke satu tahap lebih tinggi. 

“Insya Allah sekembalinya ke Kuala Lumpur, saya bersama Jemaah Menteri akan membuat penelitian terperinci untuk mengenal pasti bidang dan sektor utama berpotensi menarik peniaga dan pelabur asing bagi meningkatkan ekonomi serta mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.

“Saya berdoa agar semua kerjasama ini dapat kita laksanakan segera dan semoga semuanya berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Untuk maklumkan, UAE merupakan rakan dagang Malaysia di Timur Tengah.

Perdana Menteri kini mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bermula 6 Mac lalu dan berakhir pada hari ini.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak Covid-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula dengan perkara itu dipersetujui Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman dalam pertemuan di Istana Al Yamamah, Riyadh.

Dalam pada itu, Muhyiddn menambah, beliau syukur kepada Allah kerana izin dan rahmatnya, lawatan rasmi enam hari ke Asia Barat yang berakhir hari ini membuahkan hasil apabila pencapaian hubungan dua hala dengan Arab Saudi dan UAE yang amat membanggakan.

Perdana Menteri memberitahu, Abu Dhabi UAE merupakan destinasi terakhirnya dalam rangka lawatan rasmi di Asia Barat apabila beliau diterima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan.

Katanya lagi, beliau turut diterima menghadap Timbalan Presiden merangkap Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Istana Zabeel, Dubai.

“Pertemuan bersama dua pemimpin utama UAE ini saya sifatkan amat berjaya dan cukup berkesan dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE.

“Secara amnya, perbincangan yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara termasuk pelaburan dan perdagangan itu berjalan lancar sekali gus menterjemahkan semangat persahabatan yang akrab antara Malaysia dan UAE,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN