Peniaga sambut baik kebenaran operasi bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Peniaga sambut baik kebenaran operasi bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peniaga di bandar raya ini menyambut baik tindakan kerajaan yang membenarkan bazar Ramadan beroperasi seperti biasa sempena Ramadan ini.

Setiausaha Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB), Mohammad Salezan Mohd. Salleh berkata, keputusan itu amat ditunggu-tunggu golongan peniaga ekoran Ramadan bakal disambut tidak lama lagi.

Menurutnya, kebenaran membenarkan bazar itu beroperasi juga akan membolehkan golongan peniaga menarik nafas lega selepas mengalami kehilangan pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Tahun lalu, peniaga tidak dibenarkan untuk berniaga di bazar Ramadan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai antara mereka kehilangan punca pendapatan.

“Namun tahun ini kerajaan membuat keputusan membenarkan ia beroperasi dan kami menyambut baik langkah itu yang akan membolehkan mereka mendapat pendapatan tambahan dalam tempoh mencabar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dianggarkan seramai 6,000 ahli persatuan itu merupakan peniaga kecil-kecilan yang majoriti turut terlibat dalam perniagaan bazar Ramadan.

Pada masa sama, Mohammad Salezan menasihati golongan peniaga agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi terus mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Kerajaan kelmarin memaklumkan beberapa aktiviti akan dibenarkan sepanjang tempoh PKP ketika Ramadan ini termasuk solat tarawih dan bazar Ramadan.

Kebenaran itu termasuklah ia perlu diadakan di lokasi terbuka, pengunjung perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera serta pintu masuk dan keluar yang berbeza.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penggerak Pengguna Johor, Md. Salleh Sadijo pula memberitahu, langkah itu bertepatan kerana pelbagai sektor lain juga telah dibenarkan beroperasi.

“Kerajaan telah membenarkan pelbagai jenis perniagaan kembali beroperasi untuk memulihkan ekonomi negara dan pastinya langkah ini akan turut membantu.

“Kebenaran ini juga memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan juadah dan barangan keperluan perayaan mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya