Peniaga pasar Kuala Perlis buntu, tiba-tiba terima notis pengosongan - Utusan Malaysia

Peniaga pasar Kuala Perlis buntu, tiba-tiba terima notis pengosongan

MADIHAH Mansor, 50, menunjukkan notis pengosongan Pasar Kuala Perlis oleh MPK ketika ditemui di Pasar Kuala Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kira-kira 20 peniaga di pasar Kuala Perlis di sini buntu dan terkejut apabila secara tiba-tiba menerima surat diarahkan mengosongkan pasar tersebut untuk tujuan naik taraf pada 13 April depan.

Mereka yang menerima notis pengosongan dari Majlis Perbandaran Kangar (MPK) pada minggu lalu itu berharap pihak bertanggungjawab berkenaan memberi kelonggaran tempoh pengosongan tersebut sekurang-kurangnya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Peniaga ayam, Madihah Mansor, 50, berkata, pihak MPK langsung tidak mengadakan sebarang pertemuan atau mesyuarat dengan mereka bagi mendapatkan maklum balas mengenai kekangan yang terpaksa dihadapi peniaga apabila perlu berpindah.

Katanya, sebagai peniaga ayam segar yang sudah berbelas tahun di pasar itu, mereka memerlukan ruang untuk memproses ayam termasuk bekalan air dan elektrik serta sistem saliran supaya kawasan sekitar tidak busuk.

“Kami memang tidak ada masalah untuk naik taraf, malah, kami memang suka kalau tempat ini dapat dinaik taraf. Cuma, pihak MPK diharap dapat memahami kekangan kami juga. Kalau nak dipindahkan sementara, kami harap pihak MPK menyediakan keperluan ini termasuk juga khemah dan meja yang sesuai untuk peniagaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peniaga ikan, Azhan Daud, 57, pula berharap pengosongan pasar tersebut dapat dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri kerana jika tapak sementara adalah di hadapan pasar tersebut, ia mungkin akan bertembung dengan peniaga pasar pagi mahupun bazar Ramadan.

“Nanti, mungkin akan mendatangkan masalah seperti bau dan pelbagai lagi kekangan lain. Jadi kami tidak mahu jadi seperti itu,” katanya.

Peniaga daging, Ismail Yusof, 68, pula mencadangkan agar proses naik taraf tersebut dapat dibuat secara berperingkat supaya peniaga dapat berniaga di sebahagian ruang pasar manakala sebahagian lagi untuk tujuan tersebut.

“Saya rasa memang cukup ruangan di sini kalau semua peniaga duduk di sebelah dan apabila dah siap di bahagian itu, kami pindah pula di bahagian baharu.

“Jika pindah ke kawasan lain, kami perlu mengeluarkan modal pula untuk membeli meja yang hanya akan digunakan untuk tempoh enam bulan sepanjang tempoh naik taraf yang dijangka siap pada September,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, peniaga ada mengadu kepadanya dan berharap pengosongan pasar tersebut dapat dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri selain mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 serta Ramadan yang bakal tiba.

“MPK perlu berbincang dengan peniaga berhubung cara terbaik untuk penempatan sementara peniaga-peniaga ini.

“Peniaga tidak ada masalah untuk berpindah kerana kerja penambahbaikan ini, cuma mereka minta ihsan MPK untuk ditempatkan di satu tempat sementara yang sesuai serta yang mempunyai khemah, meja dan tempat penyimpanan barang,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya