Peniaga ‘asam boi’ jalanan kini hantar pesanan ke rumah - Utusan Malaysia

Peniaga ‘asam boi’ jalanan kini hantar pesanan ke rumah

MOHD. Firdaus Mohd. Zaidi (kanan) bersama rakan semasa menjadi peniaga jalanan di Teluk Intan namun kini mengubah perniagaan dengan menghantar pesanan ke rumah pelanggan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat di jalan-jalan utama di negeri ini tidak mematahkan semangat seorang peniaga mangga ‘asam boi’ untuk menukar kaedah jualan.

Akur dengan larangan itu, Mohd. Firdaus Mohd. Zaidi, 26, mencari rezeki melalui kaedah menghantar pesanan dari rumah ke rumah pelanggannya.

Menurutnya, sebelum ini dia yang menetap di Kuala Lumpur mencuba pasaran baharu di bandar ini untuk jualannya dengan berniaga di beberapa lokasi di sini.

“Saya tidak lagi berniaga di persimpangan lampu isyarat atau di tepi jalan sebaliknya menukar perniagaan dengan cara menghantar pesanan terus ke rumah pelanggan.

“Saya memilih cara ini kerana tidak mahu menimbulkan anggapan negatif terhadap peniaga jalanan seperti kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menceritakan pengalamannya berniaga di tepi jalan dan persimpangan lampu isyarat sebelum ini, Mohd. Firdaus berkata, tiada apa yang hendak dimalukan apabila membawa balang berisi mangga yang dijual kepada pengguna kenderaan.

Menurutnya, dia juga tidak pernah mengetuk cermin kereta pengguna ketika mahu menawarkan jualan mangga.

“Kami tahu itu salah, apatah lagi kenderaan sedang berhenti di lampu isyarat. Kami akan pergi kepada pelanggan yang memang­gil, ini cara kami mencari rezeki yang halal,” katanya.

Menurutnya, sepanjang menjual mangga di jalanan, berjemur di bawah terik mentari dan hujan serta risiko bahaya di jalan raya sudah menjadi rutin harian yang ditempuhinya.

Katanya, pekerjaan itu sama seperti khidmat penghantar makanan yang lain.

“Cara kami ini memudahkan pembeli yang memberhentikan kereta mereka ketika lampu isyarat merah. Kami mencari rezeki di jalanan kerana tidak mahu duduk menganggur. Walaupun untungnya tidak seberapa tapi sekurang-kurangnya kami berusaha mencari rezeki,” katanya.

Aktiviti jualan demikian dilihat sangat berisiko dan bukan sahaja berbahaya malah salah di sisi undang-undang.

Tindakan saman boleh dikenakan mengikut Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 yang jelas menyatakan bahawa tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya