Pengunjung merosot 70 peratus di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Batu Pahat - Utusan Malaysia

Pengunjung merosot 70 peratus di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Batu Pahat

AWANG Shafie (kanan) meninjau keadaan air yang cetek akibat musim kemarau di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Batu Pahat, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Daripada hampir 2,000 pengunjung sehari pada cuti hujung minggu, kini jumlah orang ramai ke kawasan rekreasi di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Batu Pahat di sini merosot sehingga 70 peratus.

Difahamkan faktor kekurangan jumlah pengunjung itu adalah disebabkan paras air di Bukit Ayer yang menjadi lokasi riadah dan mandi-manda itu merosot berikutan musim kemarau sejak awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Awang Shafie Awang Ahmadni berkata, paras air di kawasan tersebut merosot sehingga 80 peratus berbanding Disember tahun lalu.

Katanya, situasi tersebut sememangnya biasa berlaku setiap tahun khususnya pada musim angin timur dari Januari hingga April.

“Dalam tempoh tersebut, hujan yang turun agak jarang menyebabkan kawasan tadahan air dan sungai menjadi cetek. Dapat dilihat aliran air yang turun dari kawasan batu dan mengalir ke kolam juga agak sedikit.

“Ini seterusnya menyebabkan kunjungan orang ramai ke kawasan ini juga merosot. Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) jumlah pengunjung pada hujung minggu boleh mencapai sehingga 2,000 sehari, namun kini telah berkurang hingga 70 peratus.

“Tidak dinafikan, pengurangan pengunjung juga mungkin disebabkan rakyat takut untuk beriadah berikutan Covid-19,” katanya ketika ditemui di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Batu Pahat di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, situasi sama turut berlaku di kawasan rekreasi lain seperti Gua Kelam.

Tambahnya, pengurangan jumlah pengunjung ke kawasan terbabit secara tidak langsung memberi kesan kepada hasil kutipan kepada jabatan melalui jualan tiket masuk ke situ.

“Namun begitu, kami mengambil peluang dalam tempoh ini untuk memperkemaskan lagi pengurusan serta memikirkan kaedah baharu supaya tempat rekreasi ini tidak terjejas khususnya apabila musim kemarau,” katanya.

Bagaimanapun katanya, antara tarikan lain di kawasan tersebut adalah tapak perkhemahan yang boleh menjadi tarikan pengunjung. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN