SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan menempatkan anggota penguat kuasanya secara sepenuh masa bagi mengadakan rondaan di Taman Tasik Seremban berkuat kuasa hari ini.
Ia susulan banyak aduan diterima mengenai pembuangan pelitup muka (face mask) oleh orang awam termasuk di taman rekreasi berkenaan.
Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehudin berkata, sebagai langkah tambahan, pihaknya juga melalui Jabatan Taman dan Landskap telah melantik kontraktor bagi membersihkan kawasan sekitar Taman Tasik Seremban.
“Tindakan membuang pelitup muka secara sebarangan turut memberi kesan terhadap alam sekitar serta boleh menyebabkan saluran air tersumbat.
“Antara langkah-langkah yang telah diambil untuk menangani isu ini adalah dengan menempatkan anggota penguat kuasa sepenuh masa untuk mengadakan rondaan di Taman Tasik Seremban,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, pelitup muka merupakan satu keperluan dan pemakaiannya dikatakan dapat mencegah sehingga 60 peratus risiko dijangkiti wabak Covid-19.
“Virus Covid-19 boleh berjangkit melalui titisan air pernafasan daripada batuk, percakapan ataupun bersin. Pelitup muka perlu dibuang dengan cara yang betul di tempat yang sewajarnya.
“Pembuangan pelitup muka yang telah tercemar dan atau mempunyai rembesan pernafasan boleh membahayakan kesihatan orang lain sekiranya berlaku sentuhan terhadap pelitup muka tersebut. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, mana-mana individu yang membuang sampah merata-rata tempat boleh didenda tindakan kompaun sebanyak RM250,” katanya. -UTUSAN ONLINE