Pengekalan Malaysia dalam WGBI bukti hala tuju kerajaan - Utusan Malaysia

Pengekalan Malaysia dalam WGBI bukti hala tuju kerajaan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengekalan Malaysia dalam World Government Bond Index (WGBI) terbitan FTSE Russell, membuktikan keberkesanan pelbagai polisi dan inisiatif kerajaan masa kini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, polisi dan inisiatif itu bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan kecairan pasaran.

Katanya, Malaysia telah disenaraikan di dalam WGBI Watch List sejak April 2019 di mana Malaysia merupakan sebahagian daripada WGBI sejak Julai 2007.

“FTSE Russell merupakan penyedia indeks pasaran saham dan perkhidmatan data yang dimiliki sepenuhnya Bursa Saham London manakala WGBI adalah penanda aras merangkumi penerbitan bon kerajaan dari lebih 20 negara utama di dalam pelbagai mata wang, yang digunakan secara meluas.

“Sejak akhir April 2019, aliran masuk asing terkumpul ke dalam pasaran bon Kerajaan Malaysia berjumlah RM48.6 bilion; di mana RM22.7 bilion adalah antara akhir April hingga Disember 2019, RM17.2 bilion pada tahun 2020 dan RM8.8 bilion dari Januari hingga akhir Februari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pemegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia juga meningkat kepada 24.7 peratus pada Februari 2021, berbanding 21.9 peratus pada April 2019.

Pada akhir 2020 katanya, lebih daripada separuh jumlah pemegangan asing dalam bon kerajaan terdiri daripada pelabur jangka panjang seperti bank pusat dan kerajaan lain pada 31.5 peratus, dana persaraan pada 17.7 peratus dan syarikat insurans pada 2.6 peratus.

“Dari segi pelabur domestik, pemegangan dalam bon kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi dari institusi perbankan serta pelabur institusi domestik.

“Kementerian Kewangan ingin mengiktiraf usahasama berterusan semua pihak yang berkaitan terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM), Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) atas usahasama yang berterusan dalam membangunkan pasaran kewangan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, melalui kerjasama dengan BNM dan FMAM, MOF juga aktif di dalam pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk menggubal polisi bagi meningkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia disokong tadbir urus dan ketelusan yang lebih baik melalui usaha penyelarasan pematuhan, peraturan dan keperluan operasi bagi pelabur domestik dan asing.

“Keputusan FTSE Russell merupakan pengiktirafan kekukuhan pasaran bon Kerajaan Malaysia serta asas makroekonomi dan daya tahan negara yang baik.

“Pihak MOF akan terus bekerjasama dengan BNM, FMC, SC, Bursa Malaysia dan FMAM untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di persada pelaburan dunia,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN