Pengecualian memperbaharui lesen memandu, LKM dilanjutkan - Utusan Malaysia

Pengecualian memperbaharui lesen memandu, LKM dilanjutkan

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengecualian memperbaharui lesen memandu (LM) dan lesen kenderaan motor (LKM) Persendirian dilanjutkan berkuat kuasa 1 April hingga 31 Mei ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan masih dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) mereka kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

“Pengecualian ini melibatkan LM dan LKM yang tamat tempoh antara tarikh 1 Februari sehingga 31 Mac lalu yang mengkehendaki pemandu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei ini.

“LM dan LKM yang tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 April sehingga 31 Mei ini pula hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ka Siong, jika LM atau LKM yang tamat tempoh bagi pengecualian pertama (1 Februari hingga 31 Mac 2021) hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan, iaitu bermula 1 April sehingga 31 Mei ini.

Jelas beliau, sekiranya gagal melakukannya, ia menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan.

“Sebagaimana objektif pengecualian ini diperkenalkan pada peringkat awal pada Mac tahun lalu, ia bertujuan mengelakkan kesesakan di tempat awam serta memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat berjalan dengan baik.

“Tempoh sehingga 60 hari diberikan agar orang ramai mempunyai lebih banyak masa dan ruang serta kelonggaran sebagaimana yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang lesen vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitannya dibenarkan di bawah jadual perkhidmatan perlu (essential services).

Ia merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

Katanya, pembaharuan untuk perkhidmatan itu boleh dilakukan di semua kaunter atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak di sepanjang tempoh PKP.

“Semua pusat pemeriksaan kenderaan Puspakom juga dibenarkan beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya