Pengawal pantai sukarela Pangkor ditubuh - Utusan Malaysia

Pengawal pantai sukarela Pangkor ditubuh

SHAZLEN Mohd. Hanafiah (kiri) bersama wira awam, Muhammad Aiman Hafizi Shamsuddin (tengah) dan Yusri Yahya, bersama sijil penghargaan masing-masing di Balai Bomba Seri Manjung hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan menubuhkan pasukan pengawal pantai sukarela di Pulau Pangkor sebagai usaha mencegah kejadian lemas dan melakukan kerja-kerja menyelamat di pulau peranginan tersebut.

Ketua Zon 3 JBPM Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, penubuhan pasukan itu akan dilakukan dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Pangkor yang dianggotai oleh ‘beach boy’ iaitu mereka yang bekerja dalam sektor pelancongan di kawasan pantai Pulau Pangkor.

“Semua mereka akan dilatih untuk melakukan kerja-kerja menyelamat di atas air dan dalam bot selain aspek lain berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Zon 3 di Balai Bomba Seri Manjung, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shazlean turut menyanpaikan sijil penghargaan wira awam kepada dua orang ‘beach boy’ yang menyelamatkan mangsa hampir lemas dalam dua kejadian berasingan di perairan antara pantai Teluk Nipah dan Pulau Giam di Pulau Pangkor pada 2018 dan 2020.

Muhammad Aiman Hafizi Shamsuddin, 21, menyelamatkan dua mangsa menggunakan bot pada 11 Februari tahun lalu manakala Yusri Yahya, 36, menyelamatkan dua mangsa menggunakan jet ski pada 3 Mac 2018.

Sebelum ini, hampir setiap tahun sering berlaku insiden tidak diingini melibatkan pelancong sama ada lemas atau terperangkap di Pulau Giam yang terletak kira-kira 400 meter dari pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor.

Fenomena air surut yang membolehkan orang ramai berjalan kaki dari Teluk Nipah ke Pulau Giam berlaku sekali atau dua kali dalam setahun khususnya awal tahun dan sering kebetulan terjadi ketika cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan ia sering menjadi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, fenomena air surut itu hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu kira-kira dua jam pada waktu tengah hari menyebabkan ada yang lemas ketika berjalan semasa air pasang semula atau terperangkap di Pulau Giam yang berkeluasan 2.1 hektar itu.

Menurut Shazlean, buat masa ini pasukan pengawal pantai sukarela itu hanya ditubuhkan di Pulau Pangkor khususnya di pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah, sebelum diperluaskan ke pantai peranginan lain seperti Teluk Batik dan Teluk Senangin pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rekreasi Pangkor, Mohd. Rizal Saimi, berkata, ketika ini terdapat 96 ahli persatuan itu yang bersedia menganggotai pasukan sukarela tersebut.

Katanya, seramai 40 orang telah menyertai kursus penyelamatan di air selama dua hari yang dikendalikan oleh JBPM anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada akhir 2019 dan dikenali sebagai Beach Guide.

Bagaimanapun, jelasnya, fungsi dan tugasan sebagai Beach Guide itu terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun lalu.

“Buat masa ini, apabila ada orang yang pergi ke Pulau Giam ketika air surut, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan pergi ke pulau itu mengingatkan mereka apabila waktu air pasang hampir tiba agar tidak berlaku insiden tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN