KUALA TERENGGANU: Seorang pengarah sebuah yayasan di negeri ini ditahan reman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima suapan membabitkan projek pelitup muka bernilai RM9 juta, tahun lalu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Wan Azianti Abd. Salleh di Mahkamah Majistret di sini..
Pengarah berusia 55 tahun itu ditahan di rumahnya di sini, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Menurut sumber, lelaki itu disyaki menerima suapan daripada pengarah sebuah syarikat sebagai balasan mencadangkan pelaburan usaha sama dengan syarikat berkenaan bagi pengeluaran pelitup muka.
Terdahulu, dia yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna oren tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.54 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Semalam, di mahkamah sama dua pengarah syarikat dan seorang penjawat awam ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pelitup muka bernilai kira-kira RM9 juta itu. – UTUSAN ONLINE