JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu untuk menuntut subsidi kerajaan pada April, tahun lalu.
Tertuduh, Eyo Ah Lai, 64, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dalam bahasa Mandarin.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara selama enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, Ahmad Kamal juga memerintahkan agar wang tunai sebanyak RM9,600 daripada keseluruhan RM17,380.50 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan manakala bakinya sebanyak RM7,780.50 diserahkan kepada pekerja yang layak.
Berdasarkan pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu iaitu lampiran senarai empat nama pekerjanya untuk menuntut pembayaran berjumlah RM4,800 menerusi Program Subsidi Upah (PSU) yang diperkenalkan kerajaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Kim Yoe Timber Trading Sdn. Bhd., Batu 53 1/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Simpang Renggam, Kluang pada 12 April tahun lalu.
Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan kedua pula, dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan dua nama pekerjanya dengan nilai tuntutan bayaran sebanyak RM4,800 di tempat yang sama pada 23 April tahun lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam tertuduh, T. Vijaya Sandran dalam hujah pembelaannya memohon tertuduh diberi hukuman ringan kerana perlu menanggung tujuh orang anak, mempunyai sakit jantung selain kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya serta sudah mengaku insaf.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam. -UTUSAN ONLINE