SEREMBAN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik video di media sosial Facebook yang mencemarkan imej dan kredibiliti dua pegawai polis awal bulan lalu.
Tertuduh, Haridas, 40, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Hairullah.
Mengikut pertuduhan, Haridas secara sedar telah membuat penghantaran komunikasi di aplikasi Facebook dengan memuat naik video berdurasi 32 minit 40 saat yang bertajuk ‘Salah laku OCPD dan KBSJD IPD Seremban!’.
Tertuduh didakwa menggunakan akaun laman profil Facebook ‘Defend People’s Rights Group’ dengan mengeluarkan kata-kata mencemarkan dan memburukkan nama baik serta kredibiliti pegawai polis iaitu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Deputi Superintenden Ahmad Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.33 pagi, 2 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Pasir Mas, Rantau, Negeri Sembilan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Anak Mawan memohon jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 19 April ini.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh sama mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, tiga tahun lalu.
Haridas membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mahyun Yusof.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan enggan memberi kerjasama kepada pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas untuk melakukan pemeriksaan di rumah tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.35 malam, 28 Mac 2018 di lokasi rumah yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainal Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan kes disebut semula 31 Mac ini.